Saturday, April 30, 2011

Kuasa Pemulihan Alam Semulajadi


"Untuk setiap masalah yang anda alami, pasti terdapat minyak pati tumbuhan aromatik yang dapat membantu memulihkannya", Dr.Nelly Grosjean (pakar terapi naturopatik & aromaterapi Perancis yang mempunyai pengalaman melebihi 25 tahun dalam latihan aromaterapi dan perubatan holistik.


Aromaterapi merupakan perubatan alternatif yang menggunakan minyak pati aromatik yang diekstrak daripada bunga dan tumbuhan demi mencapai kesejahteraan fizikal, emosi dan rohani. Ia merupakan gabungan seni dan sains yang popular dalam dunia pemulihan alternatif disebabkan keberkesanannya yang terbukti.

Walaupun terma aromaterapi mula-mula dimasyhurkan pada awal abad ke 20, sejarahnya sebenarnya lebih lama. Asalnya boleh dikesan sehingga kepada kebijaksanaan bangsa Greek, Mesir dan Cina kuno ribuan tahun yang lalu, di mana aromaterapi digunakan atas kesan menonjolnya untuk memperbaik angin, kesihatan dan kecantikan seseorang.

Tidak berniat untuk menggantikan perubatan konvensional, tetapi sekadar melengkapinya. Aromaterapi terkenal dalam menjinakkan dan merawat masalah daripada tekanan dan kebimbangan kepada memulihkan penyakit kulit seperti akne.

Mengapa Anda Mudah Diserang Selesema?

Cuaca sekarang tak menentu, ramai orang sekeliling saya dijangkiti selesema. Saya teringat dengan satu info dalam iSIHAT keluaran Disember 2010.

Menurut Jennifer Ackerman (penulis buku 'Ah-Choo'), genetik adalah punca utama mengapa seseorang itu lebih mudah dijangkiti selesema berbanding yang lain.

Dalam buku yang sama, Ackerman turut mendedahkan beberapa mitos yang berkait dengan mitos. Antaranya vitamin C tidak mampu menghalang jangkitan selesema. Ia hanya berkesan sekiranya anda terbabit dalam aktiviti fizikal atau terdedah kepada kesejukan fizikal yang ekstrem.

Ciuman tidak akan menyebabkan anda dijangkiti selesema. Ini kerana famili virus terbesar yang menyebabkan selesema adalah rhinovirus, dan spesies ini jarang memasuki tubuh melalui mulut, berdasarkan kajian oleh Sekolah Perubatan Universiti Wisconsin.

Kahak yang berwarna hijau bukan petanda jangkitan bakteria, tetapi menunjukkan sistem imun bekerja dengan efisien. Tatkala tubuh merekrut banyak sel darah putih untuk dihantar bertugas, warna mukus akan bertukar daripada jernih kepada kuning kemudian hijau. Lebih hijau warnanya, lebih kuat tindak balas sistem imun.

Apa itu 'KESIHATAN'?

Menurut WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia): kesihatan merupakan suatu keadaan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial bukan semata-mata ketiadaan penyakit sahaja.
Kesihatan termasuk juga cara hidup seharian. Kesihatan berkait rapat dengan cara bagaimana kita memberi maklum balas terhadap orang lain, persekitaran dan cabaran-cabaran kehidupan seharian.

Kesihatan Fizikal
Individu yang mencapai tahap kesihatan fizikal mempunyai ketahanan terhadap sebarang penyakit yang boleh menjejaskan fungsi tubuh serta tahap kecergasan yang optimum dan berupaya melakukan aktiviti seharian dengan baik.

Kesihatan Sosial
Ia merujuk kepada keupayaan individu untuk memenuhi hubungan interpersonal yang membawa kesan yang baik ketika berinteraksi dengan masyarakat.

Kesihatan Mental
Tahap keupayaan intelektual. Berupaya berfikir secara rasional.

Kesihatan Emosi
Ia melibatkan keupayaan untuk mengawal emosi. Ia membolehkan seseorang individu menghadapi tekanan hidup dengan tenang.

Kesihatan Persekitaran
Ia merujuk kepada keupayaan individu memainkan peranan untuk melindungi persekitaran dengan baik.

Kesihatan Rohani
Keupayaan individu untuk mengamalkan prinsip-prinsip hidup yang positif yang kebiasaannya dikaitkan dengan aspek-aspek kerohanian seperti falsafah hidup, kepercayaan dan keyakinan diri.